Followers

Sunday, January 11, 2009

Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya

Dalam pendidikan anak, tak kira apa jua jenis didikan. Sama ada pendidikan formal di sekolah, didikan agama mahupun didikan sosial, semuanya harus dimula dari peringkat yang paling asas. Ini bermakna, didikan harus bermula dari awal lagi. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jadi, bilakah anak-anak kita itu seusia rebung? Adakah semasa umurnya sehari? Seminggu? Setahun? Sepuluh tahun? 20? 30? Itu semua tergantung kepada ibu bapa masing-masing. Anak-anak ibarat kain putih, kitalah yang mencorakkkannya. Bagi saya, pendidikan awal anak-anak sebenarnya bermula dari pendidikan awal kita, ibu bapa mereka sendiri. Dan umur untuk memulakan pendidikan kepada anak adalah sedari kita merancang untuk mempunyai anak. Ini adalah cara untuk menjamin keberkesanan pendidikan yang bakal kita berikan kepada anak-anak kita.
Adakah kita boleh mendidik anak kita menjadi anak yang bersopan santun jika kita sendiri tidak bersopan? Adakah kita dapat menjadikan anak kita seorang yang taat bersolat jika kita sendiri mengabaikan dan sentiasa melengah-lengahkan solat? Adakah kita mampu mendidik anak kita menghormati orang tua sedangkan kita sentiasa memburuk-burukkan datuk dan neneknya? Dan banyak lagi contoh lain yang menjadi pendidikan awal untuk anak kita yang dicontohi dari amalan, perbuatan dan perilaku kita, ibu bapa mereka.

Tidak sedikit yang kita dengar dan kita tahu anak-anak yang menyalahkan ibu bapa apabila mereka gagal dalam sesuatu yang dilakukan. Contoh paling kecil, anak yang tidak dapat melelapkan mata kerana ibu bapanya masih menonton televisyen. Ibu marahkan si anak kerana belum tidur sedangkan hari sudah lewat. Sudah tentu dia akan menjawab, "ini sebab mak ngan ayah la pasang t.v. kuat-kuat". Itu cuma satu contoh kecil sahaja. Untuk perkara-perkara yang lebih besar, misalnya anak gagal dalam peperiksaan, gagal mendapat pekerjaan, gagal dalam rumahtangga, gagal dalam hidup....anak-anak akan selalu mudah menyalahkan ibubapa juka contoh didikan kita untuk mereka tidak seperti yang sepatutnya. Tidak sepatutnya kita melepaskan tanggungjawab mendidik anak kita kepada orang lain atas alasan kita bekerja dan tidak menjaga anak. Memang jika kita bekerja maka tugas menjaga anak sewaktu kita bekerja, kita serahkan kepada orang lain. Tetapi tugas mendidik tetap menjadi tanggungjawab ibubapa untuk dilaksanakan. Menjaga dan mendidik adalah dua perkara yang berbeza. Bibik boleh menjaga anak kerana dia dibayar untuk itu. Tetapi adakah dia akan mendidik anak kita seperti seorang ibu? Walau sebaik mana pun pembantu kita, mereka tetap pembantu sahaja. Jika kita membenarkan mereka mengambil alih tanggungjawab kita ini, tidak mustahil akan timbul masalah yang lain pula.

Tidak dapat kita nafikan pada masa kini pelbagai gejala sosial yang timbul akibat keruntuhan akhlak anak-anak adalah disebabkan kegagalan kita sebagai ibubapa menjalankan tanggungjawab mendidik. Pendekatan mendidika juga tergantung kepada kredibiliti ibubapa masing-masing. Jika zaman dulu, ibubapa memang garang dengan anak. Dengan berdehem dan pandangan mata sahaja anak sudah faham apa maksud yang disampaikan ibubapa. Jika berbuat salah, pasti rotan akan memainkan peranan. Nampak macam menyeksakan tapi cara itu berkesan mendidik peribadi anak. Mungkin pendekatan itu sudah tidak relevan lagi pada zaman siber ini. Namun jika kita terlalu berlembut denagna anak, maksud pendidikan mungkin tidak dapat disampaikan dengan berkesan. Pada pendapat saya, kadang kala kita harus juga berkeras dengan anak agar anak tahu tidak semua yang dia buat itu betul. Mungkin juga rotan masih relevan untuk situasi yang tertentu. Ada antara ibubapa yang ragu-ragu tentang umur yang sesuai untuk kita gunakan kekerasan (marah) kepada anak-anak. Ayat "biar la dia kan budak lagi..." selalu sangat kita dengar. Sampai bila anak kita akan menjadi budak yang tak boleh dimarah, tak boleh ditegur? Bukankah pendidikan adalah "Melentur buluh biarlah dari rebungnya?" Jadi bukankah "budak" itulah rebung? Pada pendapat saya, anak kita boleh dimarah dan ditegur ( dengan sewajarnya) dari ketika dia sudah memahami apa yang kita cakapkan. Jadi, sedari umur setahun, anak sudah kita larang buat itu dan ini( yang memang tidak patut dibuat), kita suruh buat itu dan ini (yang memang mesti dibuat). Ia seterusnya akan jadi kebiasaan, anak akan belajar dan faham. Bukankah itu maksudnya pendidikan awal? Contoh paling biasa, anak-anak kita ajar bersalaman dengan orang dewasa. Ada kalanya anak-anak tidak mahu bersalaman (ikut mood le kononnya). Jika ibubapa biasanya membiarkan sahaja jika anak tidak mahu bersalaman, ia akan menjadi kebiasaan bagi anak itu. Dilain ketika, anak akan beranggapan bersalam itu bukanlah sesuatu yang penting untuk dibuat. Bukankah bersalam itu adalah salah satu adab kita bila berjumpa orang, terutamanya orang yang lebih tua. Beginilah biasanya masalah bermula dari perkara yang kecil.

Jadi sememangnya peranan ibubapa amat besar dalam membina siasah diri anak-anak. Pendidikan awal anak-anak amat perlu diberikan perhatian yang sewajarnya oleh ibu bapa. Inilah yang akan menentukan masa depan anak-anak, bangsa dan negara dimasa hadapan.

Tuesday, January 6, 2009

Tahun Baru 2009

Hari ni, 6 januari 2009. Jam 3.51 petang. Anak-anak tidur lak dua-dua. Ini memang jarang terjadi. Jadi dapatlah meluangkan masa sikit update blog ni.

Tahun 2009 dah hampir berusia seminggu. Anak pun dah mula bersekolah. Tahun ni Ammar masuk prasekolah. Dah 2 tahun dia kat Taski, tukar angin le pulak. Takut dia bosan. Jumaat lepas sempat la pergi orientasi prasekolah. Terkejut gak sebab baru dapat tau yang Prasekolah SKKP tu yang terbaik dalam Negeri Sembilan. Kelasnya berhawa dingin. Cantik, teratur dan sangat selesa. Harapan kami Ammar cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran barunya. Kami amat bersyukur dan berbangga dapat menempatkan anak kami di sekolah yang terbaik dari segi guru dan pencapaiannya. Moga anak kami juga akan jadi yang terbaik. Amin....

Aku ingin menjadi isteri, ibu, anak dan menantu yang lebih baik lagi dari sebelum ini.

Biasanya bila mula tahun baru, orang bercakap pasal azam. Apa azam tahun ni? Kenapa, ye? Azam cuma boleh dibuat pada awal tahun baru sahaja ke? Rasanya tak salah kita berazam bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Tiap-tiap hari pun boleh berazam sebab bukan azam tu yang penting tetapi usaha untuk merealisasikan apa yang diazamkan itu yang lebih penting lagi. Aku ni pun mungkin pandai cakap je. Usahanya mana?

Sama-samalah kita berusaha mencapai apa yang kita azamkan tahun 2009 ini. Moga tercapai segala yang kita mahukan. Insyaallah.