Followers

Wednesday, January 26, 2011

Wow!


Sedar-sedar dah setahun lebih saya tak letak apa-apa cerita pun kat laman blog ni. Selama itu banyak sangat perkara yang berlaku. Terlalu banyak. Dah bertambah pun ahli keluarga kami. Si kecil Naufal dah pun menyambut hari jadi yang pertama 5hb Januari 2011. Dalam perkiraan saya, kalau diizinkanNya, saya ingin menyambung semula apa yg saya dah hentikan sebelum ini. Saya ingin berkongsi sebanyak mungkin ilmu keibubapaan dan kekeluargaan di laman ini. Inilah ilmu yang kita perolehi hanya bila kita berkeluarga dan mempunyai anak. Hanya kita praktikkan jika kita sendiri yang menguruskan keluarga. Hanya kita kaji bila kita ingin memperbaiki kelemahan kita sendiri. Ilmu ini bukan semata-mata kita baca dari buku, majalah atau internet. Ini adalah ilmu untuk kehidupan. Yang menentukan masa depan keluarga, anak-anak, seterusnya bangsa, agama dan negara. Ilmu yang menentukan syurga dan neraka kita. Kejayaan kita sebagai ibu bapa dan keluarga inilah yang menjadi kayu pengukur berjaya atau tidaknya hidup kita. Semoga Allah sentiasa bersama dengan kita. Semoga dengan izinNya, saya dapat meneruskan cita-cita saya untuk berkongsi disini.

Sunday, September 6, 2009

Ulangtahun Perkahwinan

Hari ini, 7 September 2009. Genap 7 tahun aku bergelar isteri kepada suami dan menantu kepada ibubapa mertuaku. Lebih indah aku juga ibu kepada 2 org anak lelaki dan sedang menunggu kelahiran anak ke 3. Alhamdulillah dengan segala kurniaan dan peluang yang diberikan olehNya.

Mengimbas perkahwinan kami yang telah berlangsung selama 7 tahun, tak terasa masa begitu cepat berlalu. Masih terlalu banyak yang mesti dibuat, masih banyak yang perlu dipelajari dan diperbaiki. Namun aku dapat merasakan aku telah menjadi orang yang lebih baik sejak 7 tahun ini. Alhamdulillah.

Terima kasih yang teramat sangat untuk suamiku yang sentiasa menyayangi, memahami, menemani, mencintai, dan terlalu banyak yang telah dikorbankan demi aku dan anak-anak. Sesungguhnya ucapan dan kata-kata tidak memadai untuk menyatakan betapa aku amat menghargai setiap sesuatu yang telah dilakukannya. Segala yang aku lakukan tidak memadai untuk membalas semua jasanya. Hanya kasih dan sayang yang semakin hari semakin tebal bukti kecintaan dan ketaatan aku kepadasuami yang amat aku cintai.

I love you my hubby. Really love you. Semoga kasih sayang ini berkekalan hingga ke akhir hayat. Amin....

Monday, June 15, 2009

Ayah dan Didikan

Selamat hari bapa untuk semua bapa-bapa di seluruh dunia. Bersyukurlah pada yang masih mempunyai bapa atau yang pernah merasai kasih sayang seorang bapa.

Ayah telahpun meninggalkan kami lebih 3 tahun lalu. Macam baru semalam berjumpa Ayah. Macam baru tadi berborak-borak dengan Ayah. Macam baru jer kena marah dengan Ayah. Marah? Seingat aku selama 29 tahun mengenali Ayah, itulah perkataan yang paling mudah untuk buat kesimpulan tentang Ayah. Dia menggunakan pendekatan marah dalam mendidik anak. Pun begitu, marahnya bertempat. Tak pernah sekalipun dalam ingatan aku, Ayah pukul aku. Cuma marah dan dia memang mudah marah. Disebabkan sikapnya yang sebegitu, kami anak-anak beliau amat berdisplin dan tak suka cari pasal. Nanti kena marah dengan Ayah. Ayah akan cepat marah kalau ada perkara yang tidak disukainya walaupun pada perkara-perkara kecil. Namun, marahnya memang sebab ada kesalahan yang telah dilakukan oleh kami anak-anak, atau Emak. Kadang kala lucu juga jika dimarah Ayah walaupun ketika itu umur masing-masing telah dewasa. Itulah cara dia mendidik anak-anaknya. Aku amat bersyukur kerana didikannya yang sebegitulah aku dan adik-adik menjadi seperti apa kami sekarang. Amat sederhana dalam segala sudut terutama berbelanja, Ayah amat lokek berbelanja untuk diri sendiri. Dalam bab pelajaran dan pendidikan, Ayah amat tidak kedekut dan berkira. Apalagi jika kita bersungguh-sungguh. Ayat yang aku tidak akan lupa sepanjang hayat ku. "Janji kome nak belajo, kepala pun Ayah sanggup jual."

Segalanya mengenai Ayah sudah menjadi kenangan dan memori. Namun cara didikan Ayah mungkin hanya sesuai untuk zaman kami anak-anaknya. Untuk cucu-cucunya, kaedah marah itu kurang berkesan walaupun sekali sekala amat perlu dilaksanakan. Apapun Ayah dan Emak tetap menjadi 'role model' untuk kami mendidik anak-anak kami pula.

Monday, March 30, 2009

Tip-tip Untuk Kurangkan Berat Badan

Berita Harian sabtu, 14 februari 2009 ada kasi tip-tip untuk kurangkan berat badan. mungkin kawan-kawan pun ada baca. Antara perkara-perkara penting yg kita tau tapi kita lupa, ini utk ingatkan kita sama-sama:

1. mulakan program penurunan berat badan sedikit demi sedikit. buka secara drastik. sbb bila berat kurang cepat, yg hilang tu bukan lemak tapi air dan glikogen(karbohidrat).

2. gantikan makanan, bukan elakkan terus. contoh kalau kita tak amik langsung makanan berlemak, itu tak betul sbb kita masih perlukan lemak. apa yg perlu ialah seimbangkan makanan. gantikan makanan kpd kurang manis, kurang lemak, kurang garam.

3. minum byk air putih. lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan.

4. bykkkan pergerakan. bagi yg tak biasa bersenam, jgn paksa diri. buat sikit2 pun boleh mcm 10 minit 3 kali sehari. jln kaki, jgn guna lif, jogging, apa2 juga aktiviti yg boleh keluarkan peluh.

5. jgn terlebih makan. ini yang paling penting sekali. sunnah Rasulullah s.a.w. makan bila lapar, berhenti sebelum kenyang. kunyah perlahan-lahan dan berhenti sebelum kenyang. makan sikit tapi kerap.

kita tengok balik cara kita makan. bila tak kunyah betul-betul kita makan banyak. otak kita terima isyarat kenyang lambat. jadi bila makan dah tambah 2 kali baru rasa kenyang. itu dah kira terlebih makan. lagi satu, sesiapa yg mkn tak kunyah betul-betul ni mesti ada masalah penghadaman. selalu sembelit. itu le antara punca perut buncit.

6. fokus pada sihat, bukan kurus. kurus pun tak semestinya sihat. jadi, pemakanan kita tu kena ikut keperluan. rujuk balik piramid makanan. kita tetapkan dlm fikiran kita makan untuk sihat.

7. atasi tekanan emosi.

8. motivasi dan sokongan keluarga dan rakan-rakan.


ini semua untuk mengingatkan sesama kita. moga kita semua sihat.


Petua Untuk Yang Bergelar Bonda-bonda Sedunia

Message is from an unknown sender
daripada email yang dihantar.



Ramai ibu bapa kadang-kala terlalu tertumpu dengan tugas seharian sehingga lupa untuk menasihati anak-anak ketika anak sedang tidur.

Ini ada satu petua dari ibu saya

1.setiap malam apabila anak tidur hendaklah kita wiridkan Ya Latif ke umbun2 kepalanya sebanyak yg mungkin atau memadai 100 kali.

2.membaca surah al fatehah 1 kali, alam nasyrah 1 kali

3.bercakap-cakaplah dengan anak ketika dia sedang tidur dengan menyeru kepada nama penuhnya berbinkan atau berbintikan kepada kita sebagai ibu kandung mereka. percakapan itu hendaklah berupa nasihat, pujian dan berceritalah tentang perasaan kasih sayang kerana sesungguhnya percakapan kita kepada anak yg sedang tidur itu sangatlah bekesan kepada jiwa dan rohnya.

4.apabila kita sedang berbual-bual dengan anak sewaktu dia sedang tidur kita akan lihat matanya bergerak-gerak, walaupun dia sedang tidur.

5.ayah dan ibu hendaklah selalu menyapu air lebihan wuduk yang ada pada kita misalnya air yang masih basah di tangan ke muka dan umbun-umbun anak.

Cubalah petua itu dan insya allah kesannya akan anda dapat lihat sendiri.

Selamat mencuba......

bestkan jadi seorang ibu....

Sunday, March 1, 2009

Kita Adalah Apa Yang Kita Makan

Kita adalah apa yang kita makan. Bukan hanya makan menyebabkan kita gemuk atau kurus, sihat atau sakit, lemah atau bertenaga, kenyang atau tidak. Malah makan juga membentuk akidah kita. Sebegitu sekali hasil yang kita dapat dari makan. Jadi amatlah perlu kita meneliti, menitikberat, serta berhati-hati dengan apa yang kita makan seharian. Amat benarlah pula segala penyakit bermula dari perut.

Makanan bukan hanya kita teliti samada ia sedap atau tidak, bersih atau kotor, halal atau haram, cantik atau buruk, beli di restoran mahal atau gerai pasar malam, atau berapa kandungan kalorinya, lebih dari itu kita perlu meneliti cara penyediaannya, siapa yang memasakkannya, dibeli dari duit hasil apa? Kita memang perlu makan setiap hari. Ada yang begitu cerewet dengan makanan yang dimakan. Ada pula yang tidak ambil kisah langsung, apa saja boleh asalkan kenyang. Sebagai seorang muslim, kita begitu dianjurkan makan secara sederhana. Makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang. Apakah kewajarannya? Ini berkaitan dengan sopan santun, keperibadian, etika dan lebih-lebih lagi untuk kesihatan.

Sebagai ibubapa, menjadi tanggungjawab kita memastikan makanan yang anak-anak dan keluarga kita makan adalah bersih dari segala segi. Itu juga terkandung di dalam senarai mendidik. Sedarlah, bahawa penyakit-penyakit masakini termasuk penyakit-penyakit sosial, amatlah berkait rapat dengan punca pemakanan kita. Kajilah, semak semula apa yang kita makan, apa yang kita sediakan untuk keluarga kita makan. Jika kita mahu mencari jalan penyelesaian untuk segala penyakit tersebut, saya berfikir, makananlah yang harus kita lihat sebagai satu penyelesaian yang paling mujarab. Makananlah yang membentuk darah dan daging kita, jadi jika kotor pembentukannya, maka kotorlah hasilnya.

Monday, February 2, 2009

Sabar Itu Iman

Sejak kebelakangan ini, Ammar anak yang sulung selalu saja mencabar kesabaran kami. Tak tahu di mana salah silapnya. Tiap-tiap hari ada saja yang dia tak puas hati, dan kami akan menyinga. Melawan, tak ambil kisah, buat tak faham. Tak tahu lagi pendekatan yang macam mana kami perlu ambil lagi. Mungkin ujian Allah untuk kami. Aku yang kesabaran yang memang sentiasa tipis atau hampir tak boleh bersabar, selalu saja naik angin. Mungkin kami perlu lebih masa untuk muhasabah diri. Bukan anak sahaja yang perlu berubah untuk menambat hati orang tua. Malah sering juga orang tua yang perlu lebih ruang untuk berfikir dan memperbaiki diri supaya anak-anak lebih patuh dan menerima teguran kita dengan lebih berkesan lagi.

Tak ada gunanya kita terus berkeras dengan anak jika cara itu tidak lagi berkesan. Hampir pasti itu akan membuatkan kita stress, tekanan perasaan. Bila kita rasakan anak-anak memberontak, mungkin pada masa yang sama kita juga tunjuk perangai tanpa kita sedari. Amat mudah melihat kesalahan orang lain. Amat payah pula mencari kesilapan sendiri. Apapun dalam mendidik anak-anak, terlalu banyak cabaran yang kita perlu tempuhi. Apatah lagi kalau kita selalu rasa tercabar dengan perangai anak-anak. Sentiasa ada "give and take". Jika denagan pasangan kita, kita selalu bertolak ansur. Begitu juga dengan anak-anak. Cuma pastikan semuanya tidak melampaui batasan.

Doa dan amalan untuk melembutkan hati bukan hanya perlu untuk melembutkan hati anak-anak sahaja. Kadangkala hati ibu bapa juga perlu dilembutkan. Kita selalu dengar bahawa orang tua keras hati. Tak sedar la pulak kita lah orang tua itu. Jadi sememangnya menjaga iman itu adalah dengan bersabar. Ibarat menarik rambut di dalam tepung. Jangan sampai rambut putus dan tepung berselerak. Berlembut dan berkeras dengan anak mengikut keperluan. Kita sebagai ibu bapa yang harus lebih teliti, berusaha dan bersabar. Jangan hanya mengharap anak akan berubah bila semakin dewasa tanpa kita sedar, harapan kita itulah yang menyebabkan mereka berubah kepada yang lebih buruk lagi. Moga Ammar dan adiknya Nabil sentiasa serubah untuk menjadi insan yang lebih baik dan cemerlang.

Doa pelembut hati:

1. Surah As-Syura ayat 19.

2. Surah Toha ayat 1-5.

p/s: Baca ayat dan hembuskan ke ubun-ubun anak-anak semasa mereka tidur.