Followers

Sunday, March 1, 2009

Kita Adalah Apa Yang Kita Makan

Kita adalah apa yang kita makan. Bukan hanya makan menyebabkan kita gemuk atau kurus, sihat atau sakit, lemah atau bertenaga, kenyang atau tidak. Malah makan juga membentuk akidah kita. Sebegitu sekali hasil yang kita dapat dari makan. Jadi amatlah perlu kita meneliti, menitikberat, serta berhati-hati dengan apa yang kita makan seharian. Amat benarlah pula segala penyakit bermula dari perut.

Makanan bukan hanya kita teliti samada ia sedap atau tidak, bersih atau kotor, halal atau haram, cantik atau buruk, beli di restoran mahal atau gerai pasar malam, atau berapa kandungan kalorinya, lebih dari itu kita perlu meneliti cara penyediaannya, siapa yang memasakkannya, dibeli dari duit hasil apa? Kita memang perlu makan setiap hari. Ada yang begitu cerewet dengan makanan yang dimakan. Ada pula yang tidak ambil kisah langsung, apa saja boleh asalkan kenyang. Sebagai seorang muslim, kita begitu dianjurkan makan secara sederhana. Makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang. Apakah kewajarannya? Ini berkaitan dengan sopan santun, keperibadian, etika dan lebih-lebih lagi untuk kesihatan.

Sebagai ibubapa, menjadi tanggungjawab kita memastikan makanan yang anak-anak dan keluarga kita makan adalah bersih dari segala segi. Itu juga terkandung di dalam senarai mendidik. Sedarlah, bahawa penyakit-penyakit masakini termasuk penyakit-penyakit sosial, amatlah berkait rapat dengan punca pemakanan kita. Kajilah, semak semula apa yang kita makan, apa yang kita sediakan untuk keluarga kita makan. Jika kita mahu mencari jalan penyelesaian untuk segala penyakit tersebut, saya berfikir, makananlah yang harus kita lihat sebagai satu penyelesaian yang paling mujarab. Makananlah yang membentuk darah dan daging kita, jadi jika kotor pembentukannya, maka kotorlah hasilnya.

No comments:

Post a Comment