Followers

Monday, June 15, 2009

Ayah dan Didikan

Selamat hari bapa untuk semua bapa-bapa di seluruh dunia. Bersyukurlah pada yang masih mempunyai bapa atau yang pernah merasai kasih sayang seorang bapa.

Ayah telahpun meninggalkan kami lebih 3 tahun lalu. Macam baru semalam berjumpa Ayah. Macam baru tadi berborak-borak dengan Ayah. Macam baru jer kena marah dengan Ayah. Marah? Seingat aku selama 29 tahun mengenali Ayah, itulah perkataan yang paling mudah untuk buat kesimpulan tentang Ayah. Dia menggunakan pendekatan marah dalam mendidik anak. Pun begitu, marahnya bertempat. Tak pernah sekalipun dalam ingatan aku, Ayah pukul aku. Cuma marah dan dia memang mudah marah. Disebabkan sikapnya yang sebegitu, kami anak-anak beliau amat berdisplin dan tak suka cari pasal. Nanti kena marah dengan Ayah. Ayah akan cepat marah kalau ada perkara yang tidak disukainya walaupun pada perkara-perkara kecil. Namun, marahnya memang sebab ada kesalahan yang telah dilakukan oleh kami anak-anak, atau Emak. Kadang kala lucu juga jika dimarah Ayah walaupun ketika itu umur masing-masing telah dewasa. Itulah cara dia mendidik anak-anaknya. Aku amat bersyukur kerana didikannya yang sebegitulah aku dan adik-adik menjadi seperti apa kami sekarang. Amat sederhana dalam segala sudut terutama berbelanja, Ayah amat lokek berbelanja untuk diri sendiri. Dalam bab pelajaran dan pendidikan, Ayah amat tidak kedekut dan berkira. Apalagi jika kita bersungguh-sungguh. Ayat yang aku tidak akan lupa sepanjang hayat ku. "Janji kome nak belajo, kepala pun Ayah sanggup jual."

Segalanya mengenai Ayah sudah menjadi kenangan dan memori. Namun cara didikan Ayah mungkin hanya sesuai untuk zaman kami anak-anaknya. Untuk cucu-cucunya, kaedah marah itu kurang berkesan walaupun sekali sekala amat perlu dilaksanakan. Apapun Ayah dan Emak tetap menjadi 'role model' untuk kami mendidik anak-anak kami pula.

No comments:

Post a Comment